Thursday, February 16, 2012

Kisah dari Quran: Surah Al Baqarah


KISAH AL BAQARAH







Sebagaimana yang diketahui bahawa al-Quran mempunyai sebanyak 30 juzuk, 114 surah dan 6236 ayat. Di antara surah-surah di dalam al-Quran, terdapat satu surah yang paling panjang iaitu Surah al-Baqarah. Sebagai umat Islam, kita wajar menyelami rahsia di sebalik setiap surah dalam al-Quran bagi menghayati isi kandungannya dengan lebih mendalam. Apatah lagi Surah al-Baqarah merupakah surah yang terpanjang di dalam al-Quran, maka setiap individu muslim hendaklah berusaha untuk menyelami rahsia di sebalik isi kandungan surah ini.


Surah al-Baqarah ialah surah kedua dalam al-Quran al-Karim selepas surah al-Fatihah dan ia datang sebelum surah Ali Imran. Ia mempunyai sebanyak 286 ayat yang kebanyakannya diturunkan di Madinah. Sebahagian besar ayat dalam surah al-Baqarah diwahyukan pada permulaan Hijrah. Mengikut pandangan majoriti ulama’ ayat 281 Surah al-Baqarah merupakan ayat yang terakhir diturunkan oleh Allah bukannya ayat 3 surah al-Ma’idah sebagaimana yang masyhur dalam kalangan masyarakat (Sila rujuk kitab ’Ulum al-Qur’an oleh Manna’ Khattan dan Subhi Soleh & Tafsir al-Maraghiy 1/39). Surah ini merupakan surah yang terpanjang di antara surah-surah dalam al-Quran al-Karim, malah ayat yang terpanjang juga terdapat di dalam surah ini iaitu ayat 282 yang menceritakan perihal tentang hutang.


Surah ini dinamakan surah al-Baqarah yang membawa maksud sapi betina (lembu betina) kerana di dalamnya telah disebutkan kisah penyembelihan sapi betina yang diperintahkan Allah s.w.t kepada Bani Israel. Kisah ini bermula daripada ayat 67 sehingga ayat 74. Muhammad ‘Ali al-Sabuniy dalam kitab tafsirnya yang terkenal iaitu ‘Safwah al-Tafasir’ telah menjelaskan bahawa tujuan surah ini dinamakan sebagai al- Baqarah ( sapi betina ) adalah bertujuan untuk mengingatkan kembali mukjizat yang telah berlaku pada zaman Nabi Musa a.s.


Pada zaman Nabi Musa as, terdapat seorang lelaki dalam kalangan Bani Israel yang telah dibunuh, tetapi pembunuhnya tidak diketahui. Apabila mereka mengadu tentang pembunuhan ini kepada Nabi Musa a.s., Allah s.w.t telah mewahyukan kepada Baginda supaya menyuruh mereka (Bani Israel) untuk menyembelih seekor sapi betina, kemudian memukul mayat dengan sebahagian anggota sapi tersebut. Dengan izin Allah, mayat yang mati dibunuh itu dapat hidup semula dan memberitahu mereka siapakah pembunuhnya. Mukjizat ini membuktikan betapa Allah s.w.t berkuasa menghidupkan semula makhluk walaupun sesudah mati.


Ketika Bani Israel diperintahkan untuk menyembelih sapi betina itu, al-Quran telah merakamkan bagaimana kedegilan golongan Bani Israel yang tidak mahu melaksanakan perintah Allah tersebut dengan mencari pelbagai alasan dan hujah. Namun, akhirnya mereka terpaksa juga melakukannya kerana tiada lagi hujah dan tipu daya yang dapat mereka bentangkan kepada nabi Musa. Inilah sikap Bani Israel (Yahudi) sehingga ke hari ini. Mereka secara terang dan jelas menceroboh wilayah Palestin, namun dalam masa yang sama mereka membuat tipu helah dengan membunuh umat Islam Palestin dengan alasan untuk mempertahankan diri.


Surah al-Baqarah juga dinamakan sebagai Fustat al-Quran dan Sinam al-Quran yang bermaksud puncak al-Quran kerana kepentingan dan kebesarannya yang memuatkan hukum-hukum yang tidak disebut dalam surah lain. Justeru, beberapa ulama telah menyatakan bahawa surah ini mengandungi seribu perintah, seribu larangan dan seribu pemberitahuan.


Surah al-Baqarah mempunyai banyak kelebihan dan keistimewaan seperti yang dinyatakan oleh beberapa hadis. Antaranya ialah hadis nabi saw yang bermaksud: ‘Pelajarilah surah al-Baqarah! kerana mengamalkannya membawa keberkatan, meninggalkannya akan mengundang penyesalan dan ahli-ahli sihir tidak berupaya menguasai pembaca surah ini ( atau mereka sendiri tidak mampu menghafalnya )’.


Imam Muslim pula telah meriwayatkan hadis nabi saw yang bermaksud: ‘Bacalah al-Quran! Kerana ia akan datang pada Hari Kiamat sebagai pemberi syafaat kepada pembacanya. Bacalah dua penyeri iaitu surah al-Baqarah dan Ali Imran kerana kedua-duanya akan datang pada Hari Kiamat dalam bentuk dua kelompok awan atau seperti dua kumpulan burung yang terbang berbaris (menaungi pembacanya ), kedua-duanya akan berhujah membela pembacanya. Bacalah surah al-Baqarah kerana membacanya membawa keberkatan, meninggalkannya akan mengundang penyesalan dan ahli-ahli sihir tidak berupaya menguasai pembaca surah ini.”


Imam al-Tirmidhi pula telah meriwayatkan sebuah hadis yang bermaksud : ‘Daripada Abu Hurairah r.a bahawa sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda : Janganlah kamu menjadikan rumah kamu seperti kubur. Sesungguhnya setiap rumah yang dibacakan di dalamnya surah al- Baqarat tidak akan dimasuki syaitan’.


Ketiga-tiga hadis yang dinyatakan di atas adalah memadai untuk menunjukkan kelebihan dan keistimewaan surah al-Baqarah. Justeru, boleh dirumuskan berdasarkan ketiga-tiga hadis di atas bahawa kelebihan surah ini ialah seperti berikut :


· Membawa keberkatan


· Mengelakkan penyesalan


· Menghindarkan diri daripada kejahatan ahli sihir


· Mengamankan rumah daripada gangguan syaitan


· Menjadi pemberi syafaat kepada pembacanya pada Hari Kiamat kelak di samping berhujah mempertahankannya.


· Melindungi serta menaungi pembacanya daripada kepanasan padang Mahsyar.


Secara umumnya surah al-Baqarah adalah sama seperti surah-surah madaniyyah yang lain yang banyak memfokuskan aspek syariat. Ia menangani persoalan undang-undang dan hukum-hakam yang diperlukan oleh umat Islam dalam menjalani kehidupan bermasyarakat. Surah ini mengandungi kebanyakan hukum-hukum syariat dalam perkara aqidah, ibadah, jual-beli, akhlak, urusan perkahwinan, talak dan lain-lain lagi.


Permulaan surah ini menyentuh tentang sifat-sifat orang beriman, orang kafir dan orang munafik. Ia menjelaskan hakikat keimanan dan hakikat kekufuran serta kemunafikan di samping membandingkan di antara orang yang bahagia dengan orang yang sengsara. Kemudian, disusuli dengan kisah Nabi Adam a.s dan peristiwa-peristiwa menarik yang berlaku sewaktu penciptaannya. Kisah ini antara lain menunjukkan penghormatan yang diberikan Allah s.w.t kepada manusia.


Seterusnya, surah ini membicarakan tentang Ahli Kitab (orang Yahudi dan Nasrani) khususnya Bani Israel iaitu nenek-moyang orang Yahudi yang berjiran dengan kaum muslimin di kota Madinah. Justeru, ia mengingatkan umat Islam supaya sentiasa berwaspada dengan tipu daya dan kejahatan yang terpendam dalam diri mereka seperti hasad-dengki, memandang hina, pengkhianatan, pencabulan janji serta segala keburukan yang dilakukan oleh golongan perosak ini. Hal ini menjelaskan betapa dahsyat dan besarnya bahaya dan kemudharatan yang dibawa oleh mereka. Sebab itulah ayat-ayat yang memaparkan kisah mereka amat banyak sekali sehingga melebihi sepertiga surah al- Baqarah bermula daripada ayat 40 sehingga ayat 124.


Ayat-ayat yang selebihnya membincangkan aspek syariat, kerana pada waktu itu umat Islam di permulaan peringkat membentuk “negara Islam”. Jadi, mereka sangat memerlukan panduan rabbani ( ketuhanan ) dan syariat samawi( langit ) yang boleh menunjuk arah kehidupan baru mereka sama ada dari sudut ibadat mahupun mu‘amalat.


Oleh yang demikian, surah ini banyak menyentuh pelbagai hukum-hakam seperti perintah mengerjakan solat, menunaikan zakat, hukum puasa, haji dan umrah, hukum Qisas, hukum jihad dan perang di jalan Allah s.w.t, perkara-perkara yang halal dan haram, membelanjakan harta pada jalan Allah s.w.t, hukum arak dan judi, cara menjaga anak yatim, larangan memakan riba, hutang-piutang, hukum nafkah dan orang yang berhak menerimanya, hukum wasiat kepada kedua ibubapa dan kaum kerabat, hukum sumpah, kewajipan menyampaikan amanat, hukum sihir, hukum merosak masjid, hukum mengubah kitab-kitab Allah, hal-ehwal keluarga tentang perkahwinan, perceraian seperti talak, khulu‘ dan ila’, hukum penyusuan anak, ‘iddah, hukum melamar, mahar, pengharaman mengahwini wanita musyrik dan sebaliknya serta larangan ’menggauli’ isteri ketika haid.


Sayyid Qutb dalam kitab tafsirnya ‘Fi Zilal al-Quran’ telah menjelaskan bahawa surah ini mengandungi pelbagai tajuk, tetapi kesemuanya dihimpunkan oleh satu paksi yang mempunyai dua cabang garisan, yang saling berkait-rapat. Dari satu sudut, surah ini memaparkan pendirian Bani Israel ( orang Yahudi ) terhadap dakwah Islam di Madinah terutamanya penentangan mereka terhadap Rasulullah s.a.w dan “jama‘ah Islam” yang sedang berkembang serta pembelotan mereka menerusi usaha-usaha menjalinkan hubungan intim dengan orang munafik dan musyrikin. Dari sudut yang lain pula, surah ini memaparkan pendirian “jama‘ah islam” pada peringkat permulaan dan persediaan untuk memikul amanah dakwah serta khilafah di atas muka bumi.


Surah ini diakhiri dengan seruan kepada orang beriman supaya bertaubat dan kembali kepada Allah s.w.t. Di samping itu, ia mengajak orang beriman agar memohon bantuan dan kemenangan daripada Allah s.w.t serta berdoa memohon kebaikan dunia dan akhirat .


SURAH al-Baqarah semuanya diturunkan selepas hijrah di kota Madinah secara ijmak. Justeru itu ia dinamakan Surah Madaniah. Terdapat satu ayat, iaitu ayat 281 diturunkan pada masa Hajjatul Wada' dan diriwayatkan sebagai ayat terakhir. Al-Baqarah merupakan surah terpanjang di antara surah-surah al - Quran dan mengandungi 287 ayat. Ayat yang paling panjang iaitu ayat 282 yang berkaitan dengan hutang. Al-Baqarah bermaksud lembu betina seperti yang tercatat di dalamnya .

Kebanyakan ulamak tafsir berpendapat, dinamakan surah ini dengan al-Baqarah atau lembu betina kerana mengingatkan peristiwa mukjizat yang luar biasa berlaku pada zaman Nabi Musa, iaitu seorang dibunuh di kalangan Bani Israel tanpa diketahui pembunuhnya. Mereka bertanya kepada Nabi Musa untuk mengetahui pembunuhnya, lantas Allah mewahyukan kepada Musa supaya mereka menyembelih lembu betina dan dipukul sebahagian belulang tersebut kepada mayat. Selepas itu si mati dihidupkan dengan izin Allah dan mengkhabarkan pembunuhnya. Inilah bukti qudrat Allah boleh menghidupkan makhluk selepas mati.

Surah al-Baqarah juga dikenali sebagai az-Zahrawain sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. daripada hadis Abi Umamah al Bahili. Mengikut ulamak hadis, az-Zahrawain bermaksud dua cahaya, iaitu surah al-Baqarah dan Ali-Imran. Tersebut dalam Musnad al-Firdaus seperti yang dinamakan oleh Khalid bin Ma'dan dengan Fustat al-Quran ( Khemah al- Quran). Ini kerana surah ini terlalu agung dan besarnya kelebihannya. Imam al-Alusi menambah di dalam Ruh al-Maa'ni, terdapat banyak hukum yang disebut di dalam al- Baqarah seperti dinaqalkan daripada sebahagian masyaikh. Sesungguhnya terdapat padanya (surah al-Baqarah) seribu arahan, larangan dan khabar berita. Dikatakan juga padanya terdapat lima belas bidalan. Sebab itulah Ibnu Umar mengambil masa lapan tahun mengkajinya.

INTIPATINYA

Antara sifat surah al-Madaniah ialah pembicaraan tentang kaedah hukum syarak dan menyelesaikan konflik perundangan yang mengatur kehidupan umat Islam. Antaranya:-

1. Hukum-hukum akidah, ibadat, muamalat, akhlak, urusan perkahwinan, perceraian, idah dan lain-lain lagi.

2. Bermula dengan penerangan sifat-sifat mukmin sejati, kafir dan munafiqin dengan penjelasan hakikat iman, kufur, nifak dan bandingan antara golongan yang bahagia dan rugi.

3. Gambaran awal kejadian manusia. Adam daripada pembentukannya hingga kejutan- kejutan ajaib sebagai kemuliaan yang Allah kurniakan kepada manusia dari alam syurga kepada dunia.

4. Iblis sebagai musuh utama manusia dalam penyesatan dan tipu helah.

5. Penjelasan panjang lebar tentang Bani Israel daripada Ahli Kitab kerana mereka berjiran dengan orang Islam di Madinah al-Munawarah. Justeru itu orang-orang Islam diingatkan tentang tipu daya dan perancangan jahat mereka yang disaluti sifat mazmumah seperti khianat, tipu, mungkir janji hingga segala bentuk jenayah dan penyelewengan. Perbincangan tersebut melebihi 1/3 surah ini.

6. Surah al-Baqarah juga membicarakan permasalahan undang-undang kerana orang Islam dalam peringkat permulaan pembentukan Daulah Islamiyah memerlukan kepada Manhaj Rabbani dan Tasyri' Samawi dalam menjalani kehidupan seperti ibadat atau muamalat.

Secara ringkasnya seperti berikut:

a. Hukum puasa secara terperinci.

b. Hukum haji dan umrah.

c. Hukum jihad fi sabilillah.

d. Permasalahan institusi ke keluargaan daripada perkah winan, talak, penyusuan, idah, haram menikahi perempuan musyrikah termasuk bersama isteri dalam haid hingga kepada hukum-hukum yang berkaitan dengan keluarga kerana daripadanya benih pertama dalam pembentukan masyarakat yang lebih besar.

7. Surah ini mengutarakan permasalahan jenayah riba yang menggoncangkan keutuhan masyarakat dengan penegasan amalan riba sebagai pengisytiharan perang daripada Allah dan Rasul kepada mereka yang terlibat dengan amalan riba.

8. Kemudian surah ini membentangkan ancaman pada Hari Akhirat yang menakutkan, manusia dibalas mengikut amalannya; baik dibalas baik dan jahat dengan hukuman jahat. Iaitu ayat yang terakhir diturunkan daripada al-Baqarah.

9. Surah ini dikhatamkan dengan taujih dan gesaan kepada orang mukmin untuk bertaubat dan kembali dengan rendah diri kepada Allah serta sentiasa meminta doa kepada Allah daripada musuh, di akhiri dengan permohonan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Syeikh Muhammad Rasyid Redha dalam tafsirnya, al-Manar mengemukakan khulasah surah al-Baqarah daripada dakwah Islam, hukum-hukum dan kaedah- kaedahnya:

1. Dakwah Islam yang umum dengan mengemukakan pembahagian manusia kepada tiga kumpulan; beriman, kafir dan munafik dengan menyebut natijah hukuman dan mithalan secara lengkap.


2. Arahan kepada umat Islam secara panjang lebar digabungkan antara tauhid dan iman dengan permasalahan cabang fikah. Disebut lebih daripada 21 perkara. Bermula dengan mendirikan solat, mengeluarkan zakat, haram mengerjakan sihir, hukum qisas, wasiat bagi kedua-dua ibu bapa, hukum- hukum puasa hinggalah kepada penutup doa.

3. Kaedah-kaedah syarak yang umum juga dinyatakan melalui surah al-Baqarah sebanyak 33 kaedah. Bermula dengan kaedah mengikut hidayah Allah yang diturunkan kepada rasul mewajibkan kebahagiaan hingga kepada kaedah terakhir, iaitu binaan asas-asas agama dalam akidah dan hikmah tasyri' mengikut akalan yang diistinbatkan daripada kebenaran, keadilan dan maslahat hamba. Beliau menutup perbincangan ini dengan katanya, ``Inilah yang dibuka Allah kepadaku daripada lembaran surah al-Baqarah jika ditadabbur mungkin banyak lagi.''


Menariknya surah ini dimuqadimahkan dengan sifat-sifat mukmin dan dikhatamkan dengan doa orang-orang mukmin untuk menunjukkan kemunasabahan antara permulaan dengan akhiran dan kesemua surah secara keseluruhannya. Maha suci Kalam Allah daripada kekurangan.

FADHILATNYA

Di antara fadilat surah al-Baqarah seperti yang dinaqalkan oleh Ibnu Kathir :

1. Daripada Ma'qal bin Yasar bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, Surah al-Baqarah sebagai bonggol al-Quran (puncak seperti di belakang unta yang paling tinggi). (Riwayat Imam Ahmad seperti lafaz ini juga daripada Abu Hurairah yang diriwayatkan oleh Tirmizi).

2. Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, Jangan kamu jadikan rumah-rumahmu seperti perkuburan kerana rumah yang dibaca padanya surah al-Baqarah tidak dimasuki syaitan. (Riwayat Muslim, Tirmizi, an-Nasai' dan Imam Ahmad dalam Musnadnya. Tirmizi berkata, hadis hasan sahih).

3. Daripada Anas bin Malik katanya, Sabda Rasulullah s.a.w., Sesungguhnya syaitan keluar dari rumah apabila mendengar surah al-Baqarah dibaca.

4. Daripada Abu Ubaid daripada Abdullah bin Mas`ud katanya, `` Sesungguhnya syaitan lari dari rumah yang didengar padanya surah al-Baqarah.'' (Riwayat an-Nasai' dalam Al-Yaum wa Lailah, al-Hakim dalam Mustadrak katanya, sahih isnad.

5. Daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah s.a.w. pernah menghantar pasukan dan dilantik orang yang paling muda menjadi ketua disebabkan beliau menghafaz surah al-Baqarah. (Riwayat Tirmizi, an-Nasai' dan Ibnu Majah).

6. Daripada Asyad bin Khudair katanya, ketika beliau sedang membaca al-Baqarah pada suatu malam, tiba -tiba kudanya yang ditambat melompat-lompat, lantas dia berhenti dan kudanya pun berhenti, sebaliknya apabila dibaca kudanya terus melompat. Kemudian dia melihat ke langit seperti gugusan cahaya lampu. Keesokan pagi dilaporkannya kepada Rasulullah s.a.w., dia ditanya, Adakah kamu tahu itu semua?'' Jawabnya, ``Tidak'' Sabda Rasulullah s.a.w. ``Itulah malaikat yang turun mendengar suaramu, sekiranya kamu membacanya sampai pagi nescaya orang ramai dapat melihat cahaya tersebut. (Riwayat Bukhari).

7. Daripada Buraidah katanya, Aku duduk di sisi Nabi s.a.w. dan mendengar baginda bersabda, Pelajarilah surah al-Baqarah kerana mengambilnya adalah berkat dan meninggalkannya adalah kerugian dan lemah dikuasai oleh tukang sihir atau syaitan. (Riwayat Imam Ahmad).

Sebenarnya terdapat banyak lagi hadis-hadis berhubung kelebihan surah al- Baqarah. Tetapi yang lebih penting adalah amalan bacaan, bukan semata-mata maklumat.

WAJAH MUNASABAH

Imam Rasyid Redha melalui kitabnya, al Manar menyebut, ``Tidaklah perlu menerangkan kemunasabahan antaranya dengan al - Fatihah, sekalipun telah nyata kerana ia tidak diletakkan selepasnya kerana itu.

Imam al-Alusi dalam kitabnya, Ruh al Maani memberi huraian kemungkinan surah al-Baqarah selepas al-Fatihah. Katanya, ``Bahawa surah al-Fatihah terkandung padanya penerangan rububiyyah dan kedua, ubudiyyah dan memohon hidayah dalam maksud-maksud agama, dan ketiga, tuntutan-tuntutan keyakinan. Begitu juga surah al- Baqarah terkandung penerangan berkaitan makrifat Rab. Pertama, pada ayat ketiga dan kedua, ibadat.

Selepas itu permohonan keperluan secara bersegera atau bertempoh. Begitu juga al-Fatihah berakhir dengan permintaan hidayah. Sama juga pada awal al-Baqarah iaitu isyarat kepada hidayah bagi orang yang bertaqwa.

Allah muqadimahkan Fatihah dengan perkara zahir dan setiap yang zahir terdapat bathin. Justeru itu dimuqadimahkan surah ini (al-Baqarah) dengan batin sirnya, iaitu Alif Lam Mim.- 


(OLEH : DR. ZULKIFLI BIN MOHAMAD AL-BAKRI
)










No comments:

Post a Comment