Thursday, February 16, 2012

Pengajaran Kisah Tholut dan Nabi Daud dalam surah al Baqarah



QUOTE
[246]Tidakkah engkau ketahui (wahai Muhammad), tentang (kisah) ketua-ketua dari Bani lsrail sesudah (wafatnya) Nabi Musa, ketika mereka berkata kepada seorang Nabi mereka: "Lantiklah seorang raja untuk kamu, supaya boleh kami berperang (bersama-sama dengannya) pada jalan Allah" Nabi mereka menjawab: "Tidakkah harus, jika kamu kelak diwajibkan berperang, kamu tidak akan berperang?," Mereka berkata: "Mengapa pula kami tidak akan berperang pada jalan Allah, sedang kami telah diusir dari kampung halaman kami, dan (dari) anak-anak kami?" Maka apabila perang itu diwajibkan atas mereka, mereka membelakangkan kewajipan itu, kecuali sebahagian kecil dari mereka. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang zalim.

[247] Dan Nabi mereka pula berkata kepada mereka: "Bahawasanya Allah telah melantik Talut menjadi raja bagi kamu. Mereka menjawab: "Bagaimana dia mendapat kuasa memerintah kami sedang kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu daripadanya, dan ia pula tidak diberi keluasan harta kekayaan?" Nabi mereka berkata:" Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi raja kamu, dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan". Dan (ingatlah), Allah jualah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah Maha Luas (rahmatNya dan pengurniaanNya), lagi meliputi ilmuNya.

[248] Dan Nabi mereka, berkata lagi kepada mereka: "Sesungguhnya tanda kerajaan Talut itu (yang menunjukkan benarnya dari Allah) ialah datangnya kepada kamu peti Tabut yang mengandungi (sesuatu yang memberi) ketenteraman jiwa dari Tuhan kamu, dan (berisi) sebahagian dari apa yang telah ditinggalkan oleh keluarga Nabi-nabi Musa dan Harun; peti Tabut itu dibawa oleh malaikat. Sesungguhnya peristiwa kembalinya Tabut itu mengandungi satu tanda keterangan bagi kamu jika betul kamu orang-orang yang beriman".

[249] Kemudian apabila Talut keluar bersama-sama tenteranya, berkatalah ia: "Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan sebatang sungai, oleh itu sesiapa di antara kamu yang meminum airnya maka bukanlah ia dari pengikutku, dan sesiapa yang tidak merasai airnya maka sesungguhnya ia dari pengikutku, kecuali orang yang menceduk satu cedukan dengan tangannya". (Sesudah diingatkan demikian) mereka meminum juga dari sungai itu (dengan sepuas-puasnya), kecuali sebahagian kecil dari mereka. Setelah Talut bersama-sama orang-orang yang beriman menyeberangi sungai itu, berkatalah orang-orang yang meminum (sepuas-puasnya): "Kami pada hari ini tidak terdaya menentang Jalut dan tenteranya". Berkata pula orang-orang yang yakin bahawa mereka akan menemui Allah: "Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah; dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar".

[250] Dan apabila mereka (yang beriman itu) keluar menentang Jalut dan tenteranya, mereka berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir"

[251] Oleh sebab itu, mereka dapat mengalahkan tentera Jalut dengan izin Allah, dan Nabi Daud (yang turut serta dalam tentera Talut) membunuh Jalut. Dan (sesudah itu) Allah memberikan kepadanya (Nabi Daud) kuasa pemerintahan, dan hikmat (pangkat kenabian) serta diajarkannya apa yang dikehendakiNya. Dan kalaulah Allah tidak menolak setengah manusia (yang ingkar dan derhaka) dengan setengahnya yang lain (yang beriman dan setia) nescaya rosak binasalah bumi ini; akan tetapi Allah sentiasa melimpah kurniaNya kepada sekalian alam.

[252] Itulah ayat-ayat keterangan Allah yang kami bacakan dia kepadamu (wahai Muhammad) dengan benar; dan sesungguhnya engkau adalah salah seorang dari Rasul-rasul (yang diutuskan oleh) Allah.

[253] Rasul-rasul Kami lebihkan sebahagian daripada mereka atas sebahagian yang lain (dengan kelebihan-kelebihan yang tertentu). Di antara mereka ada yang Allah berkata-kata dengannya, dan ditinggikanNya (pangkat) sebahagian daripada mereka beberapa darjat kelebihan. Dan Kami berikan Nabi Isa ibni Maryam beberapa keterangan kebenaran (mukjizat), serta Kami kuatkan dia dengan Ruhul-Qudus (Jibril). Dan sekiranya Allah menghendaki nescaya orang-orang yang datang kemudian daripada Rasul-rasul itu tidak berbunuh-bunuhan sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan (yang dibawa oleh Rasul mereka). Tetapi mereka bertelingkah, maka timbulah di antara mereka: orang yang beriman, dan orang yang kafir. Dan kalaulah Allah menghendaki tentulah mereka tidak berbunuh-bunuhan; tetapi Allah melakukan apa yang dikehendakiNya.

[254] Wahai orang-orang yang beriman! Sebarkanlah sebahagian dari apa yang telah Kami berikan kepada kamu, sebelum tibanya hari (kiamat) yang tidak ada jual-beli padanya, dan tidak ada kawan teman (yang memberi manfaat), serta tidak ada pula pertolongan syafaat. Dan orang-orang kafir, mereka itulah orang-orang yang zalim.

Kupasan panjangnya boleh didapatkan daripada rakaman ceramah Ustaz Shamsuri Hj Ahmad dalam pengajian tafsir menggunakan tafsir Nurul Ihsan Jilid 1 (klik untuk download). Kita diseru melihat kisah ini kerana terdapat suatu pengajaran yang perlu kita ketahui.

Pada masa itu, Bani Israel meminta Nabi Samuel untuk dilantik seorang ketua (raja), untuk memerangi Jalut dan pengikutnya yang telah menghalau mereka dari perkampungan mereka. Ditanya jika difardukan perang, adakah mereka akan pergi berperang, mereka katakan sanggup. Tetapi bila difardukan ramai pula yang berpaling melainkan sedikit yang tinggal.

Kemudian Nabi Samuel memaklumkan Allah SWT telah melantik Tholut, seorang rakyat biasa yang tiada darah raja ataupun nabi, serta tiada kekayaan. Maka Bani Israel ini pula persoalkan mengapa Tholut dilantik, dan merasakan beliau tidak layak sedangkan Allah telah kurniakan kebijaksanaan dan kekuatan. Mereka meminta bukti bahawa Tholut lebih layak menjadi ketua.

Lalu didatangkan kepada mereka bukti iaitu turunnya Tabut iaitu peti kayu bersalut emas dengan dibawa Malaikat. Dalam riwayat (ada yang daif), di dalam peti itu terdapat gambar nabi-nabi dari Nabi Adam hingga yang terakhir selain adanya cebisan-cebisan Kitab Taurat peninggalan Nabi Musa dan Nabi Harun, kasut dan tongkat Nabi Musa, Serban Nabi Harun serta sumpit.

Akhirnya mereka bersetuju Tholut menjadi pemimpin mereka. Maka Tholut membawa tenteranya seramai 70,000 / 80,000 / 120,000 (berbeza mengikut riwayat), termasuk Nabi Daud. Pada waktu itu ialah musim panas. Tentera-tenteranya kehausan dan meminta Tholut memohon didatangkan air. Maka Tholut memaklumkan akan mereka temui sebatang sungai dihadapan, nanti.

Tetapi Tholut berpesan, sungai itu adalah ujian Allah SWT, bahawa sesiapa yang meminumnya dengan banyak maka dia bukanlah tergolong dalam golongannya melainkan yang hanya meminumnya sekadar secebuk ditangan. Lalu mereka temui sungai di antara Urdus (Jordan) dan Palestin. Tanpa mengingati pesanan Tholut, mereka meminum air sungai itu sepuas-puasnya melainkan sedikit sahaja yang mengikut pesanan Tholut. Diriwayatkan hanya 313 orang sahaja yang mengikut pesanan Tholut.

Setelah berehat, mereka meneruskan perjalanan dengan menyeberangi sungai itu. Tetapi hanya yang mengikut pesanan itu sahaja yang melepasi, sedangkan yang lain tak dapat menyeberangi sungai itu. Mereka takut dan keberatan untuk teruskan perjalanan untuk berperang.

Mereka yang tinggal itu tetap yakin walaupun hanya sedikit sedangkan lawan mereka sangatlah ramai berpuluh-puluh ribu. Akhirnya, dengan izin Allah SWT, mereka menang dan Nabi Daud telah berjaya membunuh Jalut.

Banyak pengajaran yang terdapat di dalam kisah ini, antara yang boleh saya senaraikan ialah:
Tetap dan yakinlah dengan perintah dan ketentuan Allah SWT. Seperti dalam kisah ini, Allah SWT telah menetapkan Tholut sebagai pemimpin mereka. Sebagai orang yang beriman, seharusnya ketetapan itu diterima tanpa bantahan. Kisah ini juga jangalah tidak diyakini kebenarannya. Ambillah pengajaran daripadanya. Suatu perintah itu tentu ada hikmah yang tersembunyi.
Berbuka puasalah sekadar mengurangkan rasa lapar, bukannya makan dan minum sepuasnya setelah masuknya waktu berbuka. Ia boleh menyebabkan kita berasa malas untuk menunaikan solat Maghrib selepas itu, serta Isya' dan solat sunat Taraweh. Begitu juga diwaktu tidak berpuasa. Apabila makan, janganlah terlalu kenyang, sebaliknya kosongkan sedikit ruang di dalam perut kita untuk pengudaraan yang baik kepada perut.
Puasa orang yang beriman sebenarnya dapat membina kekuatan, bukannya menyebabkan badan menjadi lemah. Muhasabahlah diri kita, bagaimana puasa kita. Adakah dengan berpuasa, badan kita menjadi lemah? Lihat sahaja tentera Tholut yang lemah imannya tidak terdaya meneruskan perjuangan, sedangkan mereka yang minum sekadar seceduk air itu mempunyai kekuatan untuk menghadapi musuh yang ramai.
Doa orang berpuasa adalah mudah dimakbulkan Allah SWT. Maka banyakkan lah berdoa untuk kebaikan dunia dan akhirat apabila kita berpuasa.
Setakat itu sahaja daripada hamba yang daif ini. Semoga ia memberi pengajaran kepada kita semua. Sebarkanlah kupasan kisah ini, seperti yang telah disebutkan di dalam terjemahan ayat terakhir yang saya petik di atas:

"Wahai orang-orang yang beriman! Sebarkanlah sebahagian dari apa yang telah Kami berikan kepada kamu, sebelum tibanya hari (kiamat) yang tidak ada jual-beli padanya, dan tidak ada kawan teman (yang memberi manfaat), serta tidak ada pula pertolongan syafaat. Dan orang-orang kafir, mereka itulah orang-orang yang zalim."

السلام عليكم

No comments:

Post a Comment

Post a Comment