Thursday, February 16, 2012

Pengajaran dari Al Baqarah – Kisah Adam AS dan Iblis


Antara kandungan Al-Quran ialah kisah-kisah para anbia’ yang lampau. Kisah-kisah ini bukanlah bertujuan sekadar menceritakan sesuatu kisah kepada kita seperti sebuah buku cerita. Tujuan sebenar kisah-kisah ini disampaikan kepada kita adalah agar kita boleh mendapat pengajaran, ataupun ‘ibrah daripadanya dan  untuk dipraktikkan dalam kehidupan seharian kita.

Salah satu kisah nabi yang diceritakan di dalam Al-Quran adalah kisah nabi Allah Adam AS yang mana saya pasti kita semua tidak asing lagi daripadanya. Namun, mungkin ada di kalangan kita yang tidak mempelajari ‘ibrah di sebalik kisah tersebut.

Kisah nabi Adam AS diceritakan sebanyak tujuh kali di dalam Al-Quran di tempat yang berbeza-beza. Kali pertama kisah Adam a.s disampaikan kepada kita mengikut turutan mushaf adalah di dalam surah Al-Baqarah dari ayat 30 sehingga 39. Di dalam surah ini, kita diberitahu bahawa Allah SWTvtelah menciptakan Adam AS sebagai khalifah di muka bumi. Setelah Adam AS dicipta, Allah SWT telah memerintahkan para malaikat agar bersujud kepada Adam. Maka semua yang hadir di situ menurut perintah Allah kecuali seorang jin yang berada di kalangan mereka iaitu Iblis la’natullah. Kerana ia enggan menurut perintah Allah SWT maka ia telah menjadi dari golongan yang kufur, seperti sabda Allah s.w.t :

وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلَائِكَةِ اسْجُدُوا لِآدَمَ فَسَجَدُوا إِلَّا إِبْلِيسَ أَبَىٰ وَاسْتَكْبَرَ وَكَانَ مِنَ الْكَافِرِينَ

Dain (ingatlah) apabila Kami berfirman kepada para malaikat: “Tunduklah kepada Adam “ Maka mereka sekalian tunduk melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir. (Al-Baqarah, 34)

Beberapa ayat kemudian, kita akan dapati bahawa Adam AS dan isterinya Hawa dibenarkan oleh Allah SWT untuk memakan apa sahaja yang mereka kehendaki di syurga tetapi mereka diberi satu perintah yang khusus iaitu agar mereka menjauhkan diri mereka dari sebatang pokok sahaja.

وَقُلْنَا يَا آدَمُ اسْكُنْ أَنْتَ وَزَوْجُكَ الْجَنَّةَ وَكُلَا مِنْهَا رَغَدًا حَيْثُ شِئْتُمَا وَلَا تَقْرَبَا هَٰذِهِ الشَّجَرَةَ فَتَكُونَا مِنَ الظَّالِمِينَ

Dan kami berfirman: “Wahai Adam! Tinggalah engkau dan isterimu dalam syurga, dan makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai, dan janganlah kamu hampiri pokok ini; (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang zalim”. (Al-Baqarah, 35)

Kita semua tahu apa yang terjadi seterusnya ini di mana mereka berdua termakan pujukan syaitan lalu telah melanggar perintah yang Allah SWT berikan kepada mereka ini.

Sekiranya kita fikirkan kembali, kudua-dua Adam AS dan Iblis telah melanggar perintah Allah. Namun, apakah perbezaan antara Adam AS dan Iblis? Apakah yang menyebabkan Adam AS dan Hawa masih diberi peluang oleh Allah SWT manakala Iblis terus dikategorikan sebagai kafir?

Jawapannya ialah Adam AS dan Hawa mengakui akan kesalahan mereka. Mereka  segera bertaubat dan meminta Allah agar mengampunkan mereka.

فَتَلَقَّىٰ آدَمُ مِنْ رَبِّهِ كَلِمَاتٍ فَتَابَ عَلَيْهِ ۚ إِنَّهُ هُوَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ

Kemudian Nabi Adam menerima dari Tuhannya beberapa kalimah (kata-kata pengakuan taubat yang diamalkannya), lalu Allah menerima taubatnya; sesungguhnya Allah, Dia lah yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani. (Al-Baqarah, 37)

Iblis pula bukan sahaja tidak meminta ampun atas kesalahannya, bahkan ia cuba pula untuk memberi alasan mengapa ia tidak menurut perintah Allah.

قَالَ مَا مَنَعَكَ أَلَّا تَسْجُدَ إِذْ أَمَرْتُكَ ۖ قَالَ أَنَا خَيْرٌ مِنْهُ خَلَقْتَنِي مِنْ نَارٍ وَخَلَقْتَهُ مِنْ طِينٍ

Allah berfirman: “Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku perintahmu?” Iblis menjawab: “Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia (Adam) Engkau jadikan dari tanah.” (Al-A’raf, 12)

Apakah yang boleh kita pelajari dari kisah Adam AS dan Iblis ini?

Pertama sekali, kita harus mengakui hakikat bahawa sebagai manusia, kita tidak akan lari daripada melakukan sesuatu yang bertentangan dengan perintah Allah SWT. Kadang-kala mungkin kita akan terlihat sesuatu yang tidak sepatutnya kita lihat. Kita mungkin berkata perkara-perkara yang tidak sepatunya kita katakan. Tetapi apabila kita terjerumus ke kancah dosa, kita haruslah segera menginsafi kesalahan kita, bertaubat, serta memohon keampunan daripada Allah SWT. Yakinlah bahawa Allah SWT sentiasa menerima taubat yang ikhlas.

Yang kedua, janganlah kita mengikut jejak langkah Iblis la’natullah dengan memberikan sebarang alasan sekalipun atas kesalahan yang kita telah lakukan. Jika kita pertimbangkan alasan yang diberikan oleh Iblis kepada Allah dalam ayat di atas, ia sememangnya merupakan sesuatu alasan yang boleh diterima oleh logik akal. Akan tetapi, ingatlah bahawa logik akal kita tidak akan sesekali mengatasi hukum Allah SWT.

Wallahua’lam.

3 comments: