Friday, February 17, 2012

Surah al-Baqarah, ayat 69-71: Allah penjaga segalanya


Allah s.w.t masih lagi menceritakan sifat mukhalafah Bani Israel terhadap Nabinya dengan mengemukakan persoalan-persoalan yang akhirnya menyusahkan mereka. Mereka yang tidak bersegera dalam mematuhi arahan-arahan yang diwahyukannya oleh Allah kepada mereka di samping sifat keras kepala serta keras hati mereka dengan banyak mempertikaikan Nabi mereka Musa a.s, menyebabkan hampir-hampir mereka dikenakan bala.

Antara persoalan yang mereka kemukakan lagi berkenaan dengan jenis lembu ialah seperti dalam ayat berikut.


AYAT 69-71


Mereka berkata lagi: “Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkanNya kepada kami apa warnanya?” Nabi Musa menjawab: “Bahawasanya Allah berfirman: Bahawa (lembu betina) itu ialah seekor lembu kuning, kuning tua warnanya, lagi menyukakan orang-orang yang melihatnya.”


Mereka berkata lagi: “Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkan-Nya kepada kami lembu betina yang mana satu? Kerana sesungguhnya lembu yang dikehendaki itu kesamaran kepada kami (susah kami memilihnya), dan kami insya-Allah akan mendapat petunjuk (untuk mencari dan menyembelih lembu itu).”


Nabi Musa menjawab: “Bahawasanya Allah berfirman: Sebenarnya (lembu yang dikehendaki itu) ialah lembu betina yang tidak pernah digunakan untuk membajak tanah (sawah bendang), dan tidak pula (digunakan mengangkut air) untuk menyiram tanaman; ia juga tidak cacat dan tidak ada belang pada warnanya”. Mereka berkata: “Sekarang baharulah engkau dapat menerangkan sifat-sifatnya yang sebenar.” Maka mereka pun menyembelih lembu yang tersebut, dan hampir-hampir mereka tidak dapat menunaikan (perintah Allah) itu.


Firman Allah Taala Mereka berkata lagi: “Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkan-Nya kepada kami apa warnanya?” Mereka cuba membuat persoalan berhubung dengan warna lembu selepas dijelaskan sifat lembu lantas Nabi Musa menjawab: “Bahawasanya Allah berfirman: Bahawa (lembu betina) itu ialah seekor lembu kuning, kuning tua warnanya, lagi menyukakan orang-orang yang melihatnya.” Lembu yang berwarna kuning yang nyata kuningnya, elok pandangannya dan amat disukai untuk melihatnya.

Maksud kuning di sini mempunyai dua pendapat:

Kuning yang makruf (dikenali). Inilah pendapat Ibn Abbas, Qatadah, Ibn Zaid, Ibn Qutaibah dan juga al-Zajjaj.
Bahawa ia berwarna hitam. Inilah pendapat al-Hasan al-Basri tetapi disanggah oleh ramai ulama sehingga kata Ibn Qutaibah: “Ini merupakan kesilapan dalam menyebut sifat lembu kerana sifat tersebut amat sesuai kepada unta sahaja.”
Al-Imam al-Nasafi dalam tafsirnya Madarik al-Tanzil berkata: Ini kerana keelokannya. Perkataan surur (suka) ialah kelazatan pada hati ketika mendapat manfaat atau menghasilkannya.

Tetapi malangnya mereka meneruskan persoalan iaitu Mereka berkata lagi: “Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkanNya kepada kami lembu betina yang mana satu? Sengaja mereka mengulang soalan selepas mereka mengetahui usia dan warna lembu bagi menambahkan lagi penjelasan sifatnya dan mereka menyatakan bahawa lembu yang disifatkan tersebut terlalu banyak. Mereka sebenarnya bertanya sehingga soalan yang ketiga sedangkan mereka tidak memenuhi arahan selepas diterangkan yang kedua.

Sebagaimana diriwayatkan oleh Ibn Juraij daripada Qatadah bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Mereka diperintahkan dengan yang paling mudah daripada mana-mana lembu betina untuk disembelih. Akan tetapi selepas mereka banyak menyoal selidik ke atas diri mereka, lalu Allah menyukarkan ke atas mereka. Demi Allah kalau mereka tidak membuat pengecualian (perkataan Insya-Allah) nescaya tidak diterangkan bagi mereka walaupun di akhir zaman iaitu mereka sekali-kali tidak akan mendapat hidayat Allah”.

Hadis ini diriwayatkan oleh Ibn Jarir dan ia dihukum mursal. Tidak boleh dihujah dengannya sebagaimana kata Syeikh Syakir.

Justeru kata mereka Kerana sesungguhnya lembu yang dikehendaki itu kesamaran kepada kami (susah kami memilihnya), iaitu masih menjadi kesamaran ke atas kami dan kami masih tidak dapat mengetahui apakah lembu  betina yang diarah untuk disembelih.

Mujurlah mereka berkata dan kami Insya-Allah akan mendapat petunjuk (untuk mencari dan menyembelih lembu itu)”. Kami akan mendapat petunjuk untuk mengenalinya ‘Insya-Allah’. Dan kalaulah mereka tidak berkata dengan kalimah tersebut, nescaya mereka tidak mendapat petunjuk dan hidayah selama-lamanya sebagaimana thabit dalam hadith yang bermaksud: “Kalaulah tidak kerana Bani Israel membuat pengecualian, nescaya tidak dikurmnia kepada mereka sebagaimana telah dikurnia.”

Seterusnya Nabi Musa menjawab: “Bahawasanya Allah berfirman: Sebenarnya (lembu yang dikehendaki itu) ialah lembu betina yang tidak pernah digunakan untuk membajak tanah (sawah bendang), dan tidak pula (digunakan mengangkut air) untuk menyiram tanaman; iaitu lembu yang tidak digunakan untuk perladangan atau untuk mendapatkan air bagi tanaman ia juga tidak cacat dan tidak ada belang pada warnanya.” Iaitu selamat daripada sebarang kecacatan.

Empat pendapat berkenaan maksud tiada kecacatan, iaitu:

Selamat daripada kecacatan. Inilah pendapat Ibn Abbas, Abu al-`Aliah, Qatadah dan Muqatil.
Selamat daripada kerja (tidak digunakan untuk dibuat kerja). Inilah pendapat al-Hasan dan Ibn Qutaibah.
Tidak mempunyai belang. Inilah pendapat Mujahid dan Ibn Zaid.
Elok rupa paras dan bentuk. Inilah pendapat Ata’ al-Kharasani.
Tiada padanya warna lain yang menyalahi warnanya, iaitu lembu yang kuning semuanya. Kemudian Mereka berkata: “Sekarang baharulah engkau dapat menerangkan sifat-sifatnya yang sebenar.” Sekarang kamu menerangkan bagi kami secara terperinci tiada sebarang kekaburan dan kekeliruan.

Sayyid Qutub berkata dalam Fi Zilal al-Quran: Baru sekarang! Seolah-olah keterangan-keterangan yang lepas itu tidak benar belaka, atau seolah-olah mereka tidak yakin bahawa perintah yang disampaikan kepada mereka itu benar kecuali baru sekarang ini sahaja.

Akhirnya, Maka mereka pun menyembelih lembu yang tersebut, dan hampir-hampir mereka tidak dapat menunaikan (perintah Allah) itu. Sekalipun terpaksa membayar harga yang mahal atau takut terdedah rahsia, maka hampir-hampirlah mereka tidak melaksanakannya. Ini kerana:

Terlalu mahal harganya seperti pendapat Ibn Ka`ab al-Khurazi dengan harga yang dinilai daripada emas daripada harta orang yang terbunuh. Begitu juga pendapat yang dihikayatkan oleh Ibn Abbas. Ada pendapat menyatakan dengan timbangannya sebanyak 10 kali ganda. Inilah pendapat yang dinyatakan oleh al-Mawardi dalam kitabnya Al-Nukat wa al-`Uyun.
Kerana mereka takut terdedah siapa sebenarnya pembunuh di kalangan mereka. Inilah pendapat Wahab.
Ibn Abbas berkata: Mereka mencari sifat lembu tersebut selama hampir 40 tahun sehingga ditemuinya di sisi seorang lelaki. Beliau enggan menjualnya kecuali dipenuhi dengan emas yang diletakkan dalam belulang. Inilah pendapat Mujahid, `Ikrimah, Ubaidah, Wahab, Ibn Zaid dan al-Kalbi.

Adapun sebab harga menjadi mahal:

Kerana mereka terlalu banyak bertanya dan bersoal kepada Nabi Musa.
Kerana Allah memuliakan tuan lembu tersebut yang terkenal berbuat baik kepada kedua ibu bapanya.
Al-Imam al-Nawawi dalam kitabnya Matan al-Arbai`en menaqalkan satu hadis daripada Abu Hurairah r.a katanya: Aku dengar Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Apa yang aku tegahkan kamu daripadanya maka hendaklah kamu menjauhinya, dan apa yang aku perintahkan kamu dengannya maka hendaklah kamu kerjakan daripadanya barang yang kamu kuasa. Sesungguhnya  telah binasa orang-orang yang sebelum kamu oleh kerana banyak segala pertanyaan mereka dan perselisihan mereka terhadap nabi-nabi mereka.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis ini menerangkan sebab kebinasaan orang-orang yang terdahulu, iaitu  sesungguhnya telah binasa orang-orang yang sebelum kamu (orang-orang yang terdahulu daripada kamu) kerana banyak pertanyaan mereka dan perselisihan mereka terhadap nabi-nabi mereka.

Difahami daripada keterangan ini iaitu bahawa mereka yang telah binasa dan rosak, bukan kerana kurang kekuatan mereka tetapi kerana banyak sangat pertanyaan yang sengaja mereka ada-adakan atau banyak pula masalah yang mereka reka-rekakan sebagai tanda bantahan terhadap perintah yang diminta mereka kerjakan. Mereka tidak sedar bahawa kerana banyak pertanyaan mereka, banyak pula jawapan mereka, yang pada hakikatnya bukan menyenangkan tetapi menambah lagi kesusahan mereka. Dalam pada itu ada pula pertanyaan yang bukan-bukan sebagaimana pertanyaan kepada Isa a.s, iaitu “Adakah Tuhan engkau berkuasa menurunkan hidangan dari langit-langit?”

Di dalam al-Quran ada diceritakan berkenaan dengan pertanyaan orang-orang zaman dahulu yang diadakan dengan bermacam-macam maksud. Di antaranya, ada yang minta penjelasan atas satu perintah. Mereka tidak hendak melakukan perintah itu selagi belum diberi penjelasan satu persatu sebagaimana yang pernah berlaku pada kisah baqarah (lembu betina) yang diperintahkan kepada Bani Israel untuk disembelih kerana suatu sebab tertentu.

Menurut asal perintah, mereka boleh menyembelih mana-mana lembu yang mereka kehendaki. Tetapi mereka tidak mahu menurut perintah tersebut begitu sahaja. Malahan mereka minta penjelasan tentang umurnya, warnanya dan hal keadaannya. Dengan demikian mereka sendiri menyusahkan diri mereka kerana lembu yang dikehendaki tidak mudah didapati melainkan seekor sahaja dan harganya tersangat mahal, iaitu seberapa banyak ketul emas yang dapat diisi dalam kulitnya. Namun demikian, mereka terpaksa juga membelinya untuk disembelih.

Kalau diringkaskan, maka dapatlah dibahagikan kepada tiga jenis pertanyaan:

Pertanyaan orang yang tidak tahu akan kewajipan agama seperti berwuduk, sembahyang, puasa dan lain-lainnya daripada hukum yang wajib diketahui dan dipelajari untuk diamalkan.
Pertanyaan orang-orang yang hendak menambah pengertian dan fahamnya dalam suatu masalah dalam agama, sama ada yang berkenaan dengan hukum ibadat mahupun yang bertalian dengan mu`amalat seperti jual beli, sewa-menyewa dan lain-lain.
Pertanyaan orang dalam perkara yang tidak difardukan oleh Allah. Inilah yang dimaksudkan oleh hadis yang kesembilan ini. Kerana pertanyaan seperti ini hanya mendatangkan kesukaran sahaja. Dan Nabi pernah menyatakan, “Bahawa suatu yang didiamkan itu adalah rahmat untuk kamu, maka janganlah bertanyakan lagi.”
Al-Syeikh Sya’rawi melalui tafsirnya menyatakan bahawa di sana terdapat seorang lelaki Bani Israel yang salih yang mencari rezeki yang halal dengan penuh keimanan. Ketika hampir menemui ajalnya, beliau hanya memiliki seekor anak lembu betina sedangkan beliau mempunyai isteri dan anak yang masih kecil. Apa yang patut dilakukan dengan hanya memiliki anak lembu betina.

Akhirnya beliau menghadap Allah seraya berdoa, “Ya Allah, aku simpankan anak lembu betina ini kepadamu untuk anak kecilku ini.” Kemudian dilepaskan anak lembu tersebut  ke sebuah ladang tanpa mewasiatkan kepada seseorang pun kecuali menyerah kepada Allah. Apabila anak tersebut besar, kata ibunya, “Ayahmu dahulu pernah meninggalkan pada kamu simpanan di sisi Allah, iaitu anak lembu betina.” Lantas ditanya di mana mungkin didapatinya. Jawab ibunya, “Jadilah seperti ayahmu yang bertawakkal untuk simpan kepada Allah. Begitulah kamu bertawakal untuk minta kepada Allah.”

Selepas anak tersebut berdoa, tiba-tiba datang lembu tersebut, diambilnya untuk ditunjuk kepada ibunya. Ketika berjalan, kaum Bani Israel melihatnya seraya berkata, “Inilah lembu yang kita cari yang dituntut oleh Tuhan.” Mereka menawarkan dengan tiga dinar. Jawab si anak yang salih ini, “Saya perlu bertanya ibu dahulu.” Mereka merasa bimbang lantas menawarkan pula dengan enam dinar. Jawab ibu tersebut, “Ia tidak dijual.” Akhirnya, selepas ditawar, lantas berkatalah anak itu, “Saya tidak akan menjualnya kecuali dipenuhi pada belulangnya dengan emas.” Mereka terpaksa melaksanakan kehendak anak tersebut.

Begitulah kita dapati kebaikan ayah yang menjadikan Allah sebagai penjaga kepada anaknya, nescaya dipermudahkan segala urusannya.

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

No comments:

Post a Comment