Thursday, February 16, 2012

Peristiwa Pembunuhan Lelaki Bani Israel dan Sapi Betina.(Surah Al Baqarah)



Surah al-Baqarah merupakan surah kedua selepas ummul quran. Al-Baqarah bermaksud sapi betina.  Malah di dalam surah ini terdapat suatu cerita mengenai sapi betina yang boleh dianggap cerita utama dalam surah ini.

Penciptaan makhluk di muka bumi adalah suatu tanda kebesaran Allah s.w.t.  Di antara makhluk yang diciptakan oleh Allah ialah manusia dan jin.  Penciptaan manusia telah dirakamkan oleh Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 30 yang bermaksud:

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu Dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang Yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal Kami sentiasa bertasbih Dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa Yang kamu tidak mengetahuinya".

Maka terciptalah Nabi Adam dan Hawa yang menjadi asal usul keturunan manusia.   Sejak berlakunya pembunuhan pertama oleh Qabil ke atas Habil, maka ia terus menjadi ikutan sebahagian manusia yang tidak beriman dengan ketetapan dan amaran Allah.

Al-Quran juga menceritakan sebuah kisah mengenai peristiwa pembunuhan salah seorang daripada kaum Bani Israel yang dirakamkan oleh Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 72 yang bermaksud:

“Dan (ingatlah), ketika kamu membunuh seorang manusia, kemudian kamu tuduh-menuduh sesama sendiri tentang pembunuhan itu, padahal Allah tetap melahirkan apa Yang kamu sembunyikan.”

Pada suatu ketika, terdapat seorang lelaki dari kalangan Bani Israel yang lumpuh.  Beliau mempunyai harta yang banyak dan tidak mempunyai waris kecuali seorang anak saudaranya yang berhak mewarisi hartanya.  Kerana tamakkan harta, anak saudara itu telah membunuhnya dan meletakkan mayatnya di hadapan pintu salah seorang dari mereka pada waktu malam. Keesokannya beliau mendesak untuk menuntut bela yang hampir sahaja menyebabkan pergaduhan atau pertelagahan apabila masing-masing mengeluarkan senjata dan berlaku tuduh menuduh sesama mereka.  Sebahagian darpada mereka mengatakan, “Engkau yang membunuhnya.” Manakala yang lain menyebut, “Tidak! Engkau yang membunuhnya.” Kekecohan itu dapat diredakan oleh orang-orang yang baik di kalangan mereka dengan mengatakan, “Kenapa kamu hendak berbunuhan sedangkan masih ada Rasul Allah di kalangan kamu?” Lalu mereka pergi menemui dan mengadu kepada Nabi Musa. Kemudian Nabi Musa menyatakan tentang perintah Allah bagaimana cara untuk menyelesaikan masalah pembunuhan ini.
“Dan (ingatlah), ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: "Sesungguhnya Allah menyuruh supaya kamu menyembelih seekor lembu betina". Mereka berkata: "Adakah Engkau hendak menjadikan Kami ini permainan?" Nabi Musa menjawab: "Aku berlindung kepada Allah daripada menjadi salah seorang dari golongan Yang jahil (yang melakukan sesuatu Yang tidak patut)".
“Maka Kami (Allah) berfirman: "Pukulah si mati Dengan sebahagian anggota lembu Yang kamu sembelih itu" (Mereka pun memukulnya dan ia kembali hidup). Demikianlah Allah menghidupkan orang-orang Yang telah mati, dan memperlihatkan kepada kamu tanda-tanda kekuasaanNya, supaya kamu memahaminya.”

Kaum Bani Israel yang diperintahkan oleh Nabi Musa untuk menyembelih seekor lembu betina dan menggunakan sebahagian daripada anggota lembu tersebut untuk dipukulkan kepada mayat (si mati) berkenaan bagi mengetahui siapakah pembunuhnya, berdolak dalik dalam melaksanakan perintah Allah ini.  Seandainya mereka tidak banyak pertikaian, adalah mencukupi untuk mereka menyembelih mana-mana lembu. 

“Mereka berkata pula: "Berdoalah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkanNya kepada Kami Bagaimana (sifat-sifat) lembu itu?" Nabi Musa menjawab: "Bahawasanya Allah berfirman: Bahawa (lembu betina) itu ialah seekor lembu Yang tidak terlalu tua dan tidak terlalu muda, pertengahan (umurnya) di antara itu; maka kerjakanlah apa Yang diperintahkan kepada kamu melakukannya.”

“Mereka berkata lagi: "Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkanNya kepada Kami apa warnanya?" Nabi Musa menjawab: "Bahawasanya Allah berfirman: Bahawa (lembu betina) itu ialah seekor lembu kuning, kuning tua warnanya, lagi menyukakan orang-orang Yang melihatnya".

“Mereka berkata lagi: "Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkanNya kepada Kami lembu betina Yang mana satu? kerana Sesungguhnya lembu Yang dikehendaki itu kesamaran kepada Kami (susah Kami memilihnya), dan Kami insya Allah akan mendapat petunjuk (untuk mencari dan menyembelih lembu itu)".

“Nabi Musa menjawab: "Bahawasanya Allah berfirman: sebenarnya (lembu Yang dikehendaki itu) ialah lembu betina Yang tidak pernah digunakan untuk membajak tanah (sawah bendang), dan tidak pula (digunakan mengangkut air) untuk menyiram tanaman; ia juga tidak cacat dan tidak ada belang pada warnanya". mereka berkata: "Sekarang barulah engkau dapat menerangkan sifat-sifatnya Yang sebenar". Maka mereka pun menyembelih lembu Yang tersebut, dan hampir-hampir mereka tidak dapat menunaikan (perintah Allah) itu.”

Setelah semua persoalan mengenai deskripsi lembu tersebut dijawab, orang-orang Yahudi (bani Israel) masih enggan menyembelih lembu yang disyaratkan dan Nabi Musa menegur sikap degil orang-orang Yahudi terhadap perintah Allah.  Dengan sikap itulah mereka hampir tidak menyembelih lembu yang dimaksudkan.

Demikianlah dolak dalik Kaum Bani  Israel berkenaan.  Akibat banyak mempertikaikan arahan Allah, mereka disukarkan oleh Allah dengan dikenakan syarat yang ketat bagi lembu yang hendak disembelih.

Akhirnya setelah bersusah payah, mereka menemui lembu yang disyaratkan daripada seorang lelaki yang satu-satunya memiliki lembu berkenaan. Tuanpunya lembu berkenaan berkata, “Demi Allah! Saya akan hanya akan menjual lembu ini dengan harga seluruh kulitnya disaluti emas.”  Mereka tiada pilihan melainkan membayar dengan harga yang tinggi, kemudian menyembelih lembu berkenaan dan menggunakan bahagian tertentu lembu dipukulkan ke atas mayat lelaki yang dibunuh.

Setelah dipukul mayat berkenaan, lelaki yang dibunuh itu hidup semula dan berdiri, lalu ditanyakan kepadanya siapakah yang membunuhnya.  Dia menunjukkan kepada anak saudaranya. Kemudian ia mati kembali dan anak saudaranya tidak dibenarkan mewarisi hartanya.  Mulai dari situ sesiapa yang membunuh bertujuan mewarisi harta si mati tidak dibenarkan berbuat demikian.
Mengikut `Ubaydah, Mujahid, Wahb bin Munabbih, Abu Al-`Aliyah dan `Abdur-Rahman bin Zayd bin Aslam, "Orang-orang Yahudi membeli lembu berkenaan dengan jumlah wang yang banyak. 

Sumber: Al-Quran dan tafsir Ibn Kathir

No comments:

Post a Comment